Sunday 25 November 2012

MEMORI CINTA MONYET

“ Sarah, kau tahu tak nak selesaikan soalan-soalan ni?” aku menunjukkan soalan matematik di bawah tajuk Geometri.
“ Oo..soalan tu ya. Aku pun belum dapat lagi. Tak tahu camana nak selesaikannya. Eh, kau tanyalah budak lelaki kelas kau. Mael ke, Mahadi ke, Fakri ke. Aku rasa mereka tentu dapat selesaikan. Oh, ya! Kenapa kau tak tanya Zura?” Sarah membetulkan tudung di kepala. Sekejab lagi mereka akan turun minum petang d kantin.
“ Aku seganlah. Dah banyak kali aku tanya dia. Dia pun sibuk semacam je aku tengok. Takkan kau tak tahu dia tu nak lawan dengan Fakri dalam setiap ujian dan peperiksaan,” ujarku lagi. Bimbang mula menerjah tangkai hatiku. Ada dua soalan belum dapat diselesaikan lagi. Dua hari lagi cikgu akan membincangkan set soalan tersebut di dalam kelas. Dibuatnya, aku terkena pada soalan yang susah tu, matilah aku! Cikgu Nasaruddin tu bukan boleh kira,” hati terus berkata-kata.
“ Nanti aku temankan kau jumpa Mael ya. Petang esok. Pagi esok kau bagitau dia nak belajar ‘Math’ dengan dia,” Sarah senyum sumbing. Agaknya memerli aku kot.
“ Kau kenapa senyum macam tu? Tak faham aku,”tempelakku. Sebenarnya aku faham maksud senyuman itu. Ada ura-ura dari pelajar-pelajar  lelaki lain bahawa Mael menyukai aku. Entah betul ke tida, aku pun tak pasti. Tapi sejak akhir-akhir ini, pelajar-pelajar lelaki Tingkatan 3 Khas selalu mengusik aku dengan dia. Aku marah betul. Tidak suka aku diusik begitu. Kenapa ya? Muda sangat kot untuk bercinta atau sebab ISMAIL YAAKOB tu bukan dikategorikan kacak?
“ Eh, jomlah minum petang. Habis pulak kuih muih nanti,” Sarah mematikan lamunanku.
“ Ok,” aku meletakkan buku latihan tadi di atas meja. Kawan-kawan yang lain telah turun tinggal kami berdua sahaja. Suasana di kantin asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok hingar-bingar dengan pelajar-pelajar yang ingin minum petang. Menu hari itu ialah Teh O dengan Kuih Karipap serta Kuih Koci. Selesai makan ada yang terus naik ke bilik untuk solat Asar. Ada juga yang mencapai raket badminton, ada yang meluru ke telefon awam untuk menelefon keluarga. Ada yang bermain kejar-kejaran. Tak kurang juga yang hanya duduk di bangku atau koridor sekadar memerhatikan gelagat orang lain.  
*******************************************************************************
Suasana di Tingkatan 3 Khas hingar-bingar dengan pelbagai telatah pelajar-pelajarnya. Ada yang leka bersembang, ada yang keluar merayap ke kelas-kelas lain, ada yang menelaah pelajaran. Ada yang duduk-duduk sahaja menunggu guru tiba.
“ Kak Nor, boleh tak tolong bagitahu Mael saya ak belajar ‘Math’ dengan dia petang ni. Ada 2 soalan yang belum saya siapkan lagi,” ujaku separuh berbisik pada kawan yang berbadan agak besar yang juga mempunyai pertalian darah dengan Mael.
“ Hah, kau nak ‘date’ dengan Mael? Kau biar betul. Kang timbul gossip karang, susah,” usiknya sambil ketawa.
“ Isk, bukanlah. Bukan berdua, nanti Sarah dan Ila temankan sayalah, Kak Nor,” kataku menunjukkan muka kasihan.
“ Ni mesti 2 soalan dari tajuk Geometri tu kan. Kak Nor dah buat tapi tu pun sebab Tanya senior Tingkatan 4. Faham-faham gitu je. Nak terangkan pada Liza pun tak reti,” balas Kak Nor lagi.
“ Saya rasa budak-budak lelaki kelas kita terutama yang pandai Matematik tu takde masalah kot. Lagipun, mereka ambik kelas tuisyen. Tak macam kita,”aku menambah sambil mata mencari kelibat Mael dan kawan-kawannya namun hampa. Ni mesti merayap dengan bertujuan ‘menjual muka’ pada budak-budak juniorlah ni,” getusku.
“ Baiklah, nanti Kak Nor bagitahu bila nampak…..,” kelibat Mael, Mahadi dan Fakri tiba-tiba kelihatan. Panjang betul umur mereka. Baru disebut-sebut. Aku kembali duduk di bangkuku. Membiarkan sahaja Kak Nor yang menyelesaikan perkara itu dengan Mael. Mael senyum sampai ke telinga setelah Kak Nor membisikkan sesuatu padanya. Dia sengaja melintasi mejaku dan spontan berkata,
“ Ok, 3.30 petang. Perpustakaan.
*********************************************************************************
Pertemuan berlangsung dengan lancer. Aku, Sarah, Ila telah Berjaya menyelesaikan soalan-salan Matematik tersebut atas bantuan Mae dan Zul, kawan Mael yang juga satu kelas dengan Sarah, Tingkatan 3 Teknik 1. Walaupun berlainan kelas, kami diberi set soalan yang sama kerana Cikgu Nasarudin mengajar Tingkatan 3 ARAB, Tingkatan 3 KHAS dan Tingkatan 3TEKNIK1. Aku berpuas hati dan sangat menyukai cara Mael memberi tunjuk ajar. Ringkas dan senang difahami. Cuma satu sahaja yang aku kurang senangi. Matanya sesekali memandang tepat ke anak mataku membuatkan aku sering terpinga-pinga dan malu sendiri.
“Betul ke dia suka aku? Tapi kenapa aku? Kenapa bukan Sarah atau Ila?Aku bukan lawa mana pun. Ah, lantaklah. Aku cuma mahu mencedok ilmu yang dia ada sahaja, tak lebih dari itu. Aku belum berminat untuk bercinta. PMR sudah semakin hampir dan aku perlu buktikan aku mampu kekalkan kecemerlangan seperti UPSR dulu,” Bayangan Mael cuba ku usir jauh dan bayangan kejayaan mula terbayang di mataku.
********************************************************************************
“ Ja, camana dengan pelajaran kamu?” Mak Timah bertanya pada anak gadisnya yang nombor 2 itu. Tangan Mak Timah lincah menganyam tikar mengkuang untuk kegunaan mereka sendiri. Kali ini warna yang dipilih ialah merah dan biru. Kemahiran ini diwarisi daripada nenek moyang mereka lagi. Namun, agak menyedihkan kerana dikalangan anak-anak perempuannya, seorang pun tidak mengikut jejak langkahnya.
“ Oklah, mak. Ada juga masalah tapi bila berbincang dengan kawan-kawan atau tanya cikgu, oklah,” jelasku sambil tangan dan mata sibuk dengan buku soalan Geografi. Kerja-kerja sekolah yang dibekalkan oleh Cikgu Alias perlu diselesaikan malam itu juga. Ada berbaki 5 soalan sahaja lagi yang belum dijawab. Sebenarnya aku tidaklah berminat sangat dengan subjek Geografi tetapi melihatkan kesungguhan Cikgu Alias yang juga merangkap Penyelaras PMR mengajar, memberi set-set soalan yang dijangka keluar semasa peperiksaan dan juga kelas-kelas tambahan yang diadakan sama ada siang mahupun malam, aku rasa tercabar untuk mendapat A.
“ Ja, dua hari lepas ada dua orang budak lelaki lalu-lalang depan rumah kita. Banyak kali pulak tu. Masa tu mak sedang jemur padi depan rumah,” tiba-tiba mak menukar topik perbualan.
“ Alah mak ni. Macam tak biasa orang lalu lalang depan rumah,” ujarku ketawa kecil. Aku belum dapat ‘ tangkap’ apa yang mak cuba sampaikan.
“ Bukan, 3, 4 kali juga lalu-lalang. Pelik juga lah. Sorang tu mak kenal. Anak Pak Ya, Mahadir. Sorang lagi mak tak kenal pulak. Tinggi dan gelap sikit kulitnya,” jelas mak bersungguh-sungguh. Aku meletakkan pensel dan buku di atas meja. Berfikir sejenak. Siapa yang mak maksudkan? Tinggi dan gelap? Sah, Mael! Mahadir kan rakan sekelas kami. Tapi buat apa dia dating ke kampungku? Semata-mata untuk kenal rumahku? Aku pun tidak tahu dan tidak berminat untuk kenal rumah dia. Isk, nampaknya makin mengada-ngada pulak si Mael ni.
“ Agaknya kawan orang kot mak, dia saja nak kenal rumah orang,” akhirnya aku memberikan jawapan sebegitu. Tidak pasti mak akan percaya atau tidak,yang pastinya aku tidak berbohong. Memang dia hanya kawan saja, tidak lebih dari itu. Mak Timah senyum sumbing. Anak aku ni dah semakin besar, dah ada peminat. Gerak hatinya mengatakan budak lelaki itu peminat Ja. Tak payahlah nak tipu orang tua, aku pun pernah muda dan dah makan garam dulu sebelum kamu Ja,” bisik hati Mak Timah namun tidak dizahirkannya. Dia tidak mahu lagi mengganggu anaknya yang kembali semula mengadap kerja sekolahnya.  
Setahun telah berlalu. Kini aku telah melangkah setapak lagi. Oleh kerana keputusan PMR ku agak cemerlang iaitu 7A 1C, aku telah dimasukkan ke kelas Tingkatan 4 Sains 1 di sekolah yang sama. Ramai juga rakan-rakanku semasa di tingkatan 3 dulu yang mendapat tawaran ke asrama penuh dan MRSM. Antaranya Zura dan Fakri, yang dulu selalu bersaing utuk mendapat nombor 1 di dalam kelas. Kedua-duanya berjaya mendapat 8A dan telah berjaya ke MRSM. Mael, Ila, Kak Nor, Zul, Sarah pula mendapat 6A dan mereka ditempatkan ke kelas 4 Sains 2. Kebanyakan rakan sekelasku sekarang adalah pelajar-pelajar dari Tingkatan 3 Aliran Arab dulu dan aku memang tidak rapat dengan mereka sangat. Perasaan seronok untuk belajar mula menurun. Sebaik sahaja tiba waktu rehat, aku akan ke kelas 4 Sains 2 untuk berbual-bual dengan kawan-kawanku semasa di Tingkatan 3 dulu.
Bulan Februari tiba. Bulan kelahiranku. Kebiasaannya, 20 Februari hadir dan berlalu tanpa sambutan. Tapi tahun ini, tahun 2000 masih segar di ingatanku pada 14 Februari yang dikatakan Hari Valentines! Huh..Valentines la sangat!! Sebuah bungkusan hadiah tiba-tiba muncul di dalam mejaku. Terkejut sakan aku dibuatnya. Bila kubuka, ternyata tepat telahanku, dari mamat senget tu…isk, tak baik aku panggil dia senget padahal dia kan sifuku. Begitu juga pada 20 Februari, sebuah lagi hadiah dihulurkan kepadaku. Mahu sahaja aku menolaknya namun memikirkan dia banyak berjasa kepadaku aku terima hadiah tersebut namun bukan bermakna aku terima dia sebagai ‘pakwe’.
Sebagai remaja yang sedang meningkat usianya, aku rasa semua tidak terlepas dari perasaan tersebut. Namun, aku buntu dan tidak pasti dengan perasaanku. Mael banyak kali mengajakku keluar berjalan-jalan ke bandar atau lebih tepat ‘date’ tapi aku tetap menolak. Aku gadis kampung yang tidak biasa dengan situasi begini. Rutinku sehari-hari sama seperti sebelum ini, pergi sekolah, balik sekolah. Tak pun, balik sekolah kalau rajin, lepak kat perpustakaan memandangka jawatanku sebagai pengawas perpustakaan dikekalkan sehingga sekarang. Bagiku, biarlah kami jumpa pun kerana belajar bersama-sama ditemani kawan-kawan lain. Ramai Nampak kam macam ‘couple’ namun dalam hatiku berkata aku tidak pernah cintakan dia. Hatiku bukan milik sesiapa pun lagi. Bermacam-macam cara tela aku lakukan ntuk membuat dia membenciku. Antaranya ialah aku cuba berkawan dengan pelajar lelaki lan semata-mata untuk membuat dia cemburu dan marah. Tapi taktikku selalu gagal kerana setiap pelajar lelaki yang aku cuba dekati seolah-olah tahu niat nakalku itu. Mereka juga seolah-olah takut pada Mael.
Pelajaranku berjalan seperti biasa. Masuk bulan April 2000, hampir separuh lagi pelajar Tingkata 4 Sains 1 ditawarkan ke MRSM dan SBP untuk penggilan kedua. Namaku masih tidak tersenarai namun aku sedikit pun tidak kecewa kerana itu bukanlah impianku. Aku belum bersedia untuk meninggalkan kampong halaman dan rakan-rakan seperjuanganku. 1/3 daripada pelajar Tingkatan 4 Sains 2 di naikkan ke kelasku berdasarkan keputusan PMR sebelum ini. Semua rakan-rakan baikku kini telah sekelas denganu termasuklah Mael.
Diam tak diam, tahun 2001 menjelma. Tahun peperiksaan kembali lagi. Aku kembali menjadi penghuni asrama SMKB. Rutin harianku agak sibuk dan kadangkala sering melupakan ISMAIL. Namun, dia tidak pernah melupakanku. Sentiasa cuba mendekati dan setia menunggu biarpun dalam masa beberapa tahun ini, sepatah perkataan sayang pun tidak pernah aku ucapkan. Hubungan temantapi mesra ini bukan lagi asing dalam kalangan rakan-rakan mahupun guru-guru terutamanya guru kelas kami, Pn. Maziah. Beliau merupakan guru Biologi kami juga. Beliau juga selalu mengusik kami di dalam kelas namun tidak pernah memaksa kami memutuskan persahabatan itu.
“ Mael, saya rasa lebih baik kita putus saja. Sampai di sini sahaja , saya malu dengan cikgu-cikgu, dengan mak saya, dengan kawan-kawan. Awak tahu tak masa perjumpaan dengan ibubapa hari tu, Cikgu Maziah ada beritahu mak saya yang saya ni ‘couple’ dengan awak, sebab tu lah prestasi saya menurun sikit berbanding masa Tingkatan 4. Sakitnya hati saya ni. Tolonglah beritahu semua orang bahawa kita ni tak bercinta pun, kita kawan jelah,” tekanku pada Mael. Masa tu ami dalam perpustakaan. Kak Nor dan Ila menemaniku petang itu sementara Mael pula hadir seorang diri.
“ Kenapa tak betul ke kita ni ‘couple’? Betulla tu apa yang mereka cakap tu,”Mael cuba main tarik tali denganku. Gadis bernama Liza ni boleh tahan keras hatinya. Sudah 3 tahun cuba diketuk hatinya namun belum berjaya sepenuhnya.     
“ Tak pelah kalau awak anggap kita ‘couple’, hari ni saya mintak dengan awak, lepaskan saya. Ceh, berdramalah pulak aku ni. Nampak sangat banyak tengok drama melayu kat TV3 ni.
“ Kenapa pulak? Ok, kalau saya tak nak lepaskan awak nak buat apa kat saya?
“ Mael, hubungan ni takkan ke mana pun. Lepas SPM nanti, awak bawa haluan hidup awak, saya dengan haluan hidup saya. Hubungan ni…is nothing!
“ Mana awak tahu kita tak kan bersama lagi? Mana tahu kita dapat sambung belajar di tempat yang sama…sapa tahu kan…
“ Tak mungkin. Tapi tolonglah, saya serabut dengan semua ini. Saya malu dengan pandangan orang.
“ Masa Form 3 awak kata, nak exam. Saya biarkan. Masa Form 4 kita ok je, walaupun awak tak pernah cakap suka, sayang apatah lagi. Sekarang ni dah Form 5, awak cakap nak tumpukan pada pelajaran pulak. Saya pun nak ‘exam’ jugak, bukan awak sorang je,” peril Mael. Aku terdiam seketika dan mencari idea untuk memalas kata-katanya.
“ Tapi awak pandai, tak macam saya. Awak belajar sikit , dah dapat. Saya lain, kena banyak ‘study’,” suaraku sudah kendur. Kecewa kerana Mael tidak mahu memahami situasiku. Rasanya tidak guna lagi aku bertegang urat dengan dia, tidak ada penghujungnya. Buat sakit aku, adalah. Aku tahu, dia tak kan mengalah.
“ Saya akan tunggu awak sampai bila-bila. Sampai ke akhir usia saya,” ucapnya. Ceh, yelah sangat!
 Tak payahlah. Saya tak mintak awak berjanji. Nanti awak di makan janji, awak yang berdosa.
“ Well, wait and see…
“ Oo…nilah awek Mael ya,” bisik Fahmi dan Hafiz. Aku menoleh sekilas. Dari manalah mereka ni tahu cerita ni. Takkan lah sampai ke matrikulasi pun Mael masih tunggu aku masih mengharapkan aku. Mustahil dalam dunia ni ada lelaki sesetia dia. Tapi kalau dia masih seperti dulu? Masin betul mulutnya kerana selepas SPM, kami sekali lagi ditakdirkan belajar di tempat yang sama, Kolej Mara Kulim. Ila dan Kak Nor juga. Namun semua berlainan kelas dan asrama.
Menjalani kehidupan di sini sangat sulit bagiku. Aku dapat rasakan bahawa aku jauh ketinggalan berbanding yang lain. Mungkin kerana aku bukan dari sekolah berasrama penuh atau MRSM yang telah biasa dengan rutin harian yang padat dan berjadual. Dalam erti kata yang lebih tepat aku agak terkejut dengan jadual harian ku sekarang. Aku telah berusaha sedaya upaya melakukan yan terbaik namun tetap juga tergolong dalam kategori pelajar yang ‘cukup-cukup makan sahaja’.
“ Hai, sombongnya orang tu sekarang…,” aku menoleh. ISMAIL. Dia masih seperti dulu. Suka senyum, suka mengusik.
“ Hai,taklah. Orang tak tegur, saya tak tegurlah.
“ Tak sangka ya, dapat belajar kat tempat yang sama lagi..bolehlah sambung balik yang dulu-dulu tu ekk,” usiknya senyum penuh makna. Wajahku sudah kemerahan. Benar bagai diduga, insan bernama Mael ni masih belum putus-asa.
Kami kembali berkawan. Kadangkala belajar bersama. Dia pula masih begitu. Walaupun dalam hati ada taman, prestasi pelajarannya tetap lebih dariku. Akhirnya aku pasrah, sekiranya telah tersurat aku miliknya, aku redha.
“ Sayang, abang pegi keje dulu. Sini, peluk cium abang dulu,” Salehin memecahkan lamunanku pagi itu. Sedar tak sedar hampir sejam aku mengelamun di sofa selepas solat Subuh. Tidak kusedari suamiku, Salehin telah siap untuk pergi kerja. Aku menghampirinya dan mencium tangannya seperti selalu. Dia memeluk dan menciumku di pipi. Aku senyum sahaja. Begitulah rutin hariannya sebelum pergi kerja. Aku menghantar dia pergi dengan doa moga-moga dia selamat dan dipermudahkan urusannya.
Aku kembali menghadap computer ribaku. Tidak ku sangka selepas bertahun lamanya, Ismail muncul semula namun kehadirannya bukan lagi untuk tujuan seperti dulu. Dia sudah bergelar suami orang. Janjinya yang dulu hilang, hilang ditelan masa. Namun, tidak sesekali aku menyalahkannya. Sudah takdir kami tiada jodoh. Sekarang, masing-masing telah ada keluarga sendiri. Aku pasti Mael telah membuang jauh-jauh kenangan kami dulu. Begitu juga aku. Cuma, sesekali teringat juga sikap gilanya yang tidak jemu-jemu menggapai cintaku. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Takdir telah memisahkan kami dan takdir juga telah memadamkan semua kenangan-kenangan antara kami. Aku tidak menyesal. Sama sekali tidak walauun selama kami berkawan sepatah pun tidak pernah kuucapkan kata sayang padanya. Kerana dari dulu lagi aku tahu hatiku bukan miliknya. Aku yakin, akan hadir seorang insan yang tidak perlu menjadi gila seperti Mael. Gila dalam menakluk hatiku. Tidak perlu kerana jodoh itu rahsia Allah. Tidak perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk jatuh cinta. Cinta hadir sendiri. Ia anugerah Ilahi kepada insane yang pasrah menanti. Akulah insane yang pasrah itu. Kepada Mael dan semua kenangan kami, selamat tinggal. Coretan ini sekadar tulisan semata-mata, bukan bertujuan membangkitkan kembali perasaan dulu. Pergilah…pergilah kenangan…   

No comments:

Post a Comment